Menganalisa Laman Web


Setelah membuat penilaian secara rambang terhadap laman-laman web yang berkaitan, kini tiba masanya untuk menganalisa setiap satu laman web yang dipilih secara terperinci. Kerja-kerja menganalisa ini memang agak rumit kerana terpaksa meniliti satu persatu maklumat yang yang dipaparkan. Secara keseluruhannya saya telah memilih 30 laman web berbahasa Melayu/Indonesia dan 20 lagi dalam bahasa Inggeris.

Terima kasih kepada rakan-rakan group ni kerana banyak memberi idea kepada saya tentang kaedah dan cara-cara hendak menganalisa laman web yang dipilih. Cara yang saya gunakan ialah dengan membuat 50 jadual yang lengkap diisi dengan alamat laman web yang dipilih. Seterunya saya membuka setiap laman web yang telah di'bookmark'kan itu dan meneliti satu persatu maklumat daripada laman web tersebut. Hasil dari penelitian itu saya catatkan pada jadual yang telah disediakan lebih awal.

Cara yang saya gunakan ini memang agak praktikal kerana ianya membantu mempercepatkan kerja saya. Namun terdapat juga beberapa masalah yang timbul terutama ketika hendak mencari nama penulis atau pemilik laman web tersebut. Begitu juga dalam menilai maklumat yang diberikan sama ada ianya menepati 10 ciri yang ditetapkan atau pun tidak. Saya amat berharap hasil penelitian saya dalam menganalisa laman-laman web ini akan memudahkan kerja saya apabila hendak membina blog P&P nanti.. InsyaAllah...

Alhamdulillah.. Setelah selesai membuat pemilihan tajuk, kini tiba masanya untuk mencari laman-laman web yang berkaitan dengan tajuk saya iaitu Ibadah Haji. Kami diarah untuk mencari 50 laman web yang berkaitan dengan tajuk masing-masing. Kami bebas untuk mencari laman web yang berkaitan samaada dalam versi Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia mahupun Bahasa Inggeris. Saya telah mencari lama-laman web tersebut dengan beberapa enjin carian seperti Yahoo, Google dan Altavista. Setelah mendapat alamat-alamat laman-laman web tersebut, saya menyimpan dan menyusunnya dengan membuat 'bookmarks' di komputer saya.














Bagi steps yang pertama ini saya hanya mencari dan menyimpan alamat web-web tersebut tanpa menganalisa secara mendalam setiap laman web. Tujuannya adalah untuk mempercepatkan proses mencari laman-laman web tersebut. Setelah mendapatkan lebih kurang 50 laman web yang berkaitan, barulah saya mulakan steps yang kedua iaitu melihat secara terperinci setiap laman-laman web yang telah dikumpulkan. Pada tahap ini saya akan memilih yang mana laman-laman web yang sesuai dan yang tidak sesuai. Laman web yang tidak sesuai atau yang tidak berkenaan dengan tajuk saya, saya akan gantikan dengan laman-laman web yang lain yang lebih sesuai.


Abstrak
Pengaksesan bahan daripada internet merupakan salah satu ciri utama dalam pembelajaran masa kini. Terdapat berbagai bentuk sumber bahan yang boleh diakses melalui internet antaranya bahan-bahan yang diterbitkan dalam laman-laman web yang dibangunkan oleh pihak-pihak yang tertentu. Salah satu kemahiran penting dalam persekitaran pembelajaran kini ialah pemikiran kritikal pelajar dalam menilai dan memilih bahan yang sesuai untuk digunakan dalam proses pembelajaran mereka. Dalam proses mengakses, menilai dan mempelajari bahan daripada internet, penggunaan pemikiran kritikal akan dapat membantu pelajar membuat keputusan yang lebih baik bagi mencapai tujuan proses pembelajaran yang diharapkan. Aplikasi pemikiran kritikal ini boleh dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesuatu aktiviti pembelajaran berlangsung. Tujuan utama penilaian menggunakan prinsip aplikasi pemikiran kritikal ini ialah untuk memperbaiki amalan yang sedang atau yang akan dioperasikan. Penguasaan kemahiran ini dapat menyediakan pelajar meneroka ilmu pada masa kini dan masa depan melalui prasarana teknologi digital masa kini yang sangat penting terutamanya dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat. Kertas ini membincangkan tentang faktor-faktor penting yang perlu dipertimbangkan untuk membantu pelajar mengakses dan menilai bahan yang diperolehi daripada internet dengan berkesan dan efektif. Faktor-faktor tersebut termasuklah persepsi pelajar tentang apa itu pengetahuan dan kesedaran pelajar tentang standard pemikiran yang perlu digunakan untuk menilai bahan yang diperolehi daripada internet.


Aplication of critical thinking in the used of materials accessed from the internet

Accessing materials from the internet is one of key feature in current learning environment.



PENGENALAN

Persekitaran pembelajaran dalam persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin berkembang dan semakin luas penggunaannya dalam dunia pendidikan hari ini. Pada masa lalu, sumber maklumat kebanyakannya diperolahi melalui bahan bercetak seperti buku, jurnal dan nota-nota. Pada hari ini, sumber maklumat semakin banyak dan dapat diperolehi dari pelbagai sumber dan cara. Pengaksesan maklumat melalui sistem internet merupakan salah satu sumber penting dan semakin banyak digunakan terutamanya dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi.Terdapat berbagai bentuk bahan yang boleh diakses daripada internet antaranya ialah bahan-bahan yang diterbitkan dalam laman-laman web yang dibangunkan oleh pihak-pihak yang tertentu. Salah satu isu penting dalam ciri bahan tersebut yang perlu diambil perhatian ialah dari segi kewibawaan pihak yang membangunkan laman web tersebut. Justeru sangat penting pengguna mempunyai kemahiran pemikiran kritikal khususnya dalam menilai dan memilih bahan–bahan tersebut sebelum mengambil keputusan untuk menerima pakai atau menggunakan bahan-bahan tersebut.

Kesimpulannya, kemahiran mengakses dan mempelajari maklumat daripada internet merupakan salah satu kemahiran yang penting dalam proses pembelajaran pelajar dalam era komunikasi digital kini. Lempahan maklumat yang boleh diperolehi secara maya ini memerlukan pelajar mengaplikasikan pemikiran kritikal mereka dalam proses mengakses, menilai dan mempelajari bahan atau maklumat yang diperolehi. Persolannya sejauh mana pengguna atau pelajar mempunyai kemahiran pemikiran kritikal untuk diaplikasikan dalam situasi ini. Kertas ini membincangkan tentang faktor-faktor penting yang perlu dipertimbangkan untuk membantu pelajar mengakses dan menilai bahan yang diperolehi daripada internet dengan berkesan dan efektif. Faktor-faktor tersebut termasuklah persepsi pelajar tentang apa itu pengetahuan dan kesedaran pelajar tentang standard pemikiran yang perlu digunakan untuk menilai bahan yang diperolehi daripada internet.

APA ITU PENGETAHUAN
Salah satu aspek penting yang mempengaruhi pemikiran seseorang ialah persepsi individu itu terhadap apa yang dimaksudkan dengan pengetahuan. Jika kita merenung kembali pada zaman kanak-kanak, apa yang dikatakan sebagai pengetahuan sangat dipengaruhi oleh apa yang dilihatnya. Bila kanak-kanak ini masuk ke sekolah, apa sahaja yang diperkatakan oleh guru itu adalah sesuatu yang benar. Persepsi ini berkembang kepada apa yang dibaca atau apa yang dipaparkan dalam buku adalah sesuatu yang benar. Bahkan apabila pelajar ke peringkat yang lebih tinggi, kesedaran mereka tentang apa itu pengetahuan dan dari mana sumber ilmu sebenarmya masih belum matang. Walaupun dari segi perkembangan kognitif mereke sepatutnya sudah dapat menguasai pemikiran abstrak, mereka masih tidak dapat memahami mengapa sesuatu perkara itu mungkin ditakrif secara berbeza-beza oleh orang yang berbeza-beza. Dengan itu mereka akan menjadi keliru apabila mendapati banyak tafsiran yang berbeza di berikan oleh orang yang berbeza mengenai sesuatu perkara.

Persepsi tentang apa itu pengetahuan seperti yang dibincangkan di atas, menyebabkan kanak-kanak cenderung menerima apa sahaja yang disajikan kepada mereka baik oleh guru, apa yang disajikan oleh pengarang buku atau akhbar dan sekarang oleh sesiapa sahaja yang membina kandungan maklumat di dalam laman web yang dibangunkan. Justeru itu amat penting mereka diberi kesedaran tentang apa itu pengetahuan dan sifat pengetahuan itu sendiri yang sangat terpilih dan menghadapi pelbagai tafsiran oleh pelbagai pihak. Mereka perlu disedarkan bahawa apa sahaja yang didengar atau dibaca di mana sahaja merupakan suatu penaakulan atau dakwaan oleh seseorang dan perlu disahkan sama ada ianya benar atau tidak. Kesimpulannya mereka haruslah dibekalkan dengan kemahiran pemikiran kritikal yang dapat membantu mereka menilai sesuatu dakwaan atau penaakulan sama ada penaakulannya sendiri atau pun penaakulan orang lain.

PEMIKIRAN KRITIKAL DAN STANDARD PEMIKIRAN
Secara umum, pemikiran kritikal merujuk kepada usaha-usaha menganalisis dan mentaksir sesuatu untuk digunakan atau untuk diperbaiki. Ennis (1985) mendefinisikan pemikiran kritikal sebagai “…. Reasonable, reflective thinking that is focus on deciding what to believe or do… “. Ia merujuk kepada aktiviti pemikiran reflektif bagi mencari kemunasabahan atau kewajaran sesuatu perkara sebelum memutuskan apa yang hendak dilakukan atau hendak dipercayai. Paul (1995) mendefinisikannya sebagai “….. thinking about thinking to improved thinking….” Di sini pemikiran kritikal dirujuk sebagai aktiviti atau seni “pemikiran tentang pemikiran” dalam mana ia mengenal pasti kekuatan dan kelemahan; dan menyatakannya semula dalam bentuk yang lebih baik (improved form) jika perlu. Dengan lain perkataan, kita menganalisa untuk mentaksir, dan kita mentaksir untuk memperbaiki (Paul & Elder, 2006).

Seseorang itu dikatakan mengaplikasikan pemikiran kritikal ketika menilai sesuatu apabila ia menunjukkan usaha untuk melihat sesuatu dengan lebih jelas, benar dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, dapat membezakan yang mana sempurna dan yang mana tidak sempurna dan secara keseluruhan ia menghakimi dan menilai sesuatu secara adil. Paul (1995) juga melihatnya sebagai proses mentaksir atau menilai/menghakim berdasarkan sesuatu kriteria atau standard. Pemikir yang efektif dikatakan akan berusaha mengaplikasikan standard atau kriteria yang tertentu dalam menilai pemikirannya. Tinjauan literatur mencadangkan beberapa standard pemikiran yang perlu diambil kira dalam proses penilaian pemikiran seseorang. Paul (1995) merujuknya sebagai intellectual universal standard. Menurutnya, pemikir yang efektif mestilah menggunakan standard tertentu untuk menilai pemikirannya. Beliau menyenaraikan sembilan kriteria yang boleh dijadikan asas dalam menilai penaakulan atau hasil pemikiran seseorang iaitu 1)kejelasan, 2)ketepatan, 3)keterperincian, 4)logik, 5)relevan, 6)mendalam, 7)luas 8) signifikan dan 9)adil. Menurutnya, seseorang itu boleh menilai hasil penaakulannya sendiri atau penaakulan orang lain berdasarkan kriteria-kriteria tersebut.

Kriteria ’Kejelasan’ merujuk kepada sejauh mana penaakulan tersebut dapat difahami dengan huraian atau penerangan yang jelas dan contoh-contoh yang dapat menerangkan penaakulan tersebut. Soalan-soalan di sini termasuklah ”bolehkah kita menerangkannya dengan lebih lanjut?, Bolehkah kita memberikan contoh-contoh yang memudahkan kita memahaminya. Kriteria ’Ketepatan’ pula merujuk kepada sejauh mana penaakulan tersebut bebas daripada ralat. Penaakulan tersebut seharusnya boleh ditentukan sama ada ia benar atau tidak. Soalan-soalannya termasuklah ’Bolehkah kita mengesahkan kebenarannya? Bagaimana kita boleh pastikan bahawa ia benar?’. Kriteria keterperincian merujuk kepada sejauh mana penaakulan dijelaskan secara terperinci. Kriteria ini lahir hasil dari kesedaran bahawa kita memerlukan maklumat yang terperinci dan khusus untuk memudahkan kita memahami sesuatu.

Kriteria logik pula merujuk kepada sejauh mana penaakulan kita munasabah dan boleh diterima. Kriteria relevan berkaitan dengan isu sejauh mana maklumat itu relevan dengan isu yang ditangani. Kriteria mendalam dan luas juga berkaitan dengan kecukupan maklumat di mana kriteria mendalam merujuk kepada sejauh mana kita telah mengambil kira semua kompleksiti yang berkaitan dengan isu yang ditaakul. Soalan-soalan seperti apakah kesukaran atau masalah yang berkaitan dengan isu ini yang perlu dipertimbangkan, apakah antara kompleksiti yang perlu dipertimbangkan berkaitan dengan isu ini?. Manakala kriteria sama ada penaakulan kita cukup luas merujuk kepada sejauh mana kita telah memikirkan isu tersebut dari pelbagai sudut pandangan atau dilihat dari beberapa cara yang berbeza. Akhir sekali kriteria adil merujuk kepada sejauh mana kita bebas daripada kepentingan peribadi atau bias kepada sudut pandangan yang tertentu.

Melalui aplikasi yang teliti dan berhati-hati kriteria yang dibincangkan tersebut ke atas pemikiran kita, kita dapat menghasilkan penaakulan yang berkualiti. Dalam perbincangan ini, pemikiran kritikal merujuk kepada usaha-usaha pelajar menilai semula hasil pemikiran atau tindakan yang hendak dan ingin dijalankan berkaitan dengan proses pembelajarannya. Pembinaan Standard/kriteria penilaian bagi setiap peringkat metakognisi perlu dioperasikan untuk memandu proses mengakses, memilih dan mempelajari bahan yang diakses daripada Internet.


APLIKASI PEMIKIRAN KRITIKAL DAN PENILAIAN BAHAN

Aplikasi pemikiran kritikal dalam proses mengakses, menilai dan mempelajari bahan yang diakses boleh dilihat dalam beberapa langkah penting. Langkah pertama ialah perlunya pelajar memahami apakah bahan yang ingin dicari dan bagaimanakah ia boleh mencerakinkan bahan tersebut dalam bentuk kata-kata kunci yang penting yang boleh digunakan dalam proses pencariannya. Contohnya aktiviti mengakses maklumat selalunya bermula dengan tugasan atau objektif kenapa ia melakukan pengaksesan tersebut. Katalah pelajar diberi satu tugasan yang tertentu dan memerlukan mereka mengakses maklumat untuk menyempurnakan tugasan tersebut. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah meneliti apakah hasil yang ingin diperolehi daripada pengaksesan maklumat tersebut. Satu daripada masalah pelajar ialah ketidak upayaan untuk memahami apakah sebenarnya kehendak tugasan yang cuba diselesaikan. Pelajar perlu belajar bagaimana menjelaskan dalam perkataannya sendiri apakah yang dimaksudkan dengan tugasan tersebut dan seterusnya membina objektif yang jelas apakah maklumat atau kategori maklumat yang perlu diekstrak daripada maklumat yang diakses. Ini melibatkan penganalisisan tugasan dan hasil akhirnya ialah beberapa bentuk pertanyaan yang perlu diperolehi jawapannya daripada bahan yang diakses. Aktiviti ini sebenarnya dapat membantu pelajar mendapatkan bahan dariapda internet melalui pengenal pastian kata kunci yang sesuai untuk digunakan dalam pencarian maklumat tersebut.

Dalam peringkat merancang, hasil pemikiran perlu dinilai secara kritikal berdasarkan standard pemikiran seperti sejauh mana apa yang dirancang itu jelas, tepat, terperinci, relevan, logik dan adil. Soalan-soalan yang boleh dikemukakan termasuklah:
• Adakah objektif yang hendak dicapai jelas
• Adakah kategori dan sub kategori yana dibentuk relevan dengan topik yang menjadi fokus
• Adakah ia cukup mendalam dan luas bagi isu yang hendak diselesaikan
Ketika proses mengakses dan mempelajari maklumat daripada inetrnet, pelajar perlu sentiasa memantau sejauh mana ia menuju ke arah pencapaian objektif yang telah dibentuk di peringkat awal semasa perancangan tadi. Pelajar boleh memantau proses pembelajarannya dengan menggunakan soalan-soalan pemantauan seperti “Bagaimana prestasi saya setakat ini?”’ “Bagaimana patut saya teruskan” dan sebagainya. Soalan-soalan yang dikemukakan dinilai menggunakan standard atau kriteria yang dibincangkan di atas. Begitu juga dengan soalan-soalan penilaian kendiri yang sesuai untuk membimbing pelajar membuat penilaian proses pembelajaran yang telah dijalankan.

Apabila pelajar mengamalkan proses merancang, memantau dan menilai aktiviti pembelajaran mereka, dan mengaplikasikan pemikiran kritikal dalam menilai ketiga-tiga proses tadi, proses pembelajaran mereka akan menjadi lebih efektif dan bermakna. Mereka akhirnya akan dapat membina kemahiran belajar yang berguna yang boleh digunakan dalam proses pembelajaran sepanjang hayat mereka. Justeru dicadangkan satu model metakognisi yang mengintegrasikan aplikasi pemikiran kritikal dalam pengaksesan dan pemilihan maklumat yang mempunyai empat langkah penting iaitu:
1) menyenaraikan objektif pencarian maklumat,
2) menggunakan senarai tersebut untuk mencari maklumat ,
3) memantau strategi yang digunakan menggunakan senarai,
4) menilai strategi yang digunakan dan hasil pembelajaran yang dicapai.

Bagi setiap langkah tersebut, penilaian menggunakan aplikasi pemikiran hendak dijalankan menggunakan templat standard yang dibina sebelum langkah selanjutnya dijalankan.

Langkah pertama melibatkan penglibatan pelajar dalam penyediaan senarai topik dan subtopik sebagai objektif pencarian maklumat. Pada peringkat ini, pelajar memikirkan apakah fokus pencarian dengan menyenaraikan topik dan sub-sub topik yang berkaitan dengan topik utama. Selepas itu pelajar hendaklah menukar topik dan sub-topik tersebut dalam bentuk soalan. Soalan-soalan bagi setiap topik atau subtopik hendaklah meliputi empat soalan utama yang akan memandu pencarian maklumat iaitu:
• Apakah yang perlu saya fahami?
• Ia tergolong dalam kategori apa
• Apakah penerangan/ciri-ciri/deskripsi yang dapat menjelaskannya
• Apakah kepentingannya

Hasil penyenaraian hendaklah dinilai dari segi sejauh mana ia mencukupi, jelas, relevan , logik, mencukupi (terperinci, meluas, mendalam), tepat dan adil.
Pada peringkat kedua, pelajar diajar menggunakan strategi yang sesuai untuk mengakses bahan berdasarkan topik dan sub-topik yang telah disenaraikan. Untuk mencapai obejktif ini, pelajar seharusnya telah didedahkan dengan teknik pencarian misalnya cara menggunakan kata kunci dan prosedur pengunaan “bolean search” Dengan itu mereka boleh mencari laman web yang bersesuaian dengan topik yang hendak dicari. Aplikasi pemikiran kritikal di sini ialah proses menyoal diri sendiri sejauh mana strategi pencarian yang digunakan memberikan hasil yang diharapkan.

Maklumat yang diakses tadi hendaklah dipelajari berdasarkan empat soalan utama di atas. Di sini pelajar perlu dibimbing membina makna daripada maklumat yang diakses melalui proses menjawab empat soalan yang dibincangkan di atas. Hasilnya ialah ringkasan mengandungi maklumat yang dicari daripada laman web yang dipelajari. Prosedur yang sama boleh diaplikasikan kepada laman web selanjutnya yangberkaitan dengan topik yang dipelajari.

Di peringkat ini, dijangkakan pelajar akan mendapat lempahan maklumat daripada laman-laman web yang disenaraikan. Justeru pada peringkat ini pelajar perlu digalakkan memantau sama ada mereka berada pada landasan atau arah yang betul untuk mencapai objektif pembelajaran mereka. Ketika mereka berada dalam satu-satu titik masa, mereka perlu menyoal diri mereka sendiri secara berkala sama ada mereka masih berada pada landasan yang betul ke arah pencapaian matlamat. Pelajar perlu diajar bahawa untuk memantau proses pencarian maklumat tersebut, mereka perlu berhenti sejenak untuk menilai kemajuan dari semasa ke semasa. Proses pemantauan dalam pemilihan bahan hendaklah berpandukan sejauh mana bahan tersebut dapat memberikan input untuk menjawab soalan-soalan yang telah dibina bagi setiap topik dan sub-topik yang ditetapkan.

Sebagaimana peringkat pertama dan kedua tadi, pada peringkat pemantauan juga aplikasi pemikiran kritikal terus digunakan dengan menilai maklumat yang diakses dari segi sejauh mana maklumat yang di akses relevan dengan topik yang dicari, sejauh mana ia boleh dipercayai, adakah ia mencukupi dan sebagainya. Hasil daripada rumusan-rumusan yang dibina daripada proses menjawab soalan semasa mempelajari maklumat digunakan untuk menyelesaikan tugasan. Hasilan ini juga hendaklah dinilai dari segi sejauh mana ia mencukupi, jelas, relevan , logik, mencukupi (terperinci, meluas, mendalam), tepat dan adil. Prosedur ini pelu diaplikasikan dalam pembelajaran bahan yang diperolehi bagi setiap laman yang diakses.

Peringkat yang terakhir ialah peringkat menilai strategi dan hasil pencarian yang dijalankan. Pelajar perlu digalakkan menilai sama ada apa yang dilakukan efektif atau tidak. Pelajar boleh menilai strategi yang digunakan dengan mencari jawapan kepada soalan-soalan seperti:
• Apakah yang saya cuba capai?
• Apakah strategi yang saya gunakan?
• Sejauh mana strategi tersebut dijalankan dengan baik?
• Apa lagi yang saya boleh buat?

Tujuan aktiviti ini ialah untuk pelajar membuat refleksi tentang strategi yang digunakan dan menilai kelebihan dan kelemahan serta membuat adaptasi yang sesuai untuk menggunakan strategi tersebut pada masa depan. Ini penting untuk menyokong pemindahan kemahiran belajar dan menjadikan mereka menjadi pembelajar yang efektif dalam persekitaran digital yang sangat penting dalam proses pembelajaran sepanjang hayat mereka.

Kesimpulannya, model strategi metakognisi yang dicadangkan di atas menampakkan penekanan aplikasi pemikiran kritikal di setiap peringkat proses pembelajaran iaitu bermula dari peringkat perancangan, pemantauan dan penilaian. Penggunaan strategi metakognitif dalam proses pembelajaran mereka dijangkakan dapat menhasilkan hasil yang memuaskan dalam mempelajari bahan yang diakses daripada internet. Bimbingan kepada pelajar untuk menguasai strategi belajar ini akan dapat membantu kejayaan proses pembestarian sekolah yang diinginkan.

PENUTUP
Penggunaan strategi metakonitif yang menekankan aplikasi pemikiran kritikal boleh diamalkan dalam strategi mempelajari bahan yang diakses daripada internet. Usaha in akan mencapai objektif serampang mata iaitu memperoleh kemahiran belajar yang efisian dan berkesan dan pada masa yang sama memupuk budaya pemikiran kritikal yang mejadi teras kepada proses penambahbaikan dalam sebarang pelaksanaan aktiviti atau tindakan yang diambil dalam kebanyakan setting kehidupan baik dalam proses pembelajaran mahupun dalam aktiviti kehidupan seharian. Bila pelajar menjadi lebih mahir dalam menggunakan strategi metakognitif, dan mengaplikasikan pemikiran kritikal dalam aktiviti pembelajaran mereka, mereka akan menjadi lebih yakin dan dapat menguasai proses pembelajarannya sendiri. Tujuan akhir ialah untuk membolehkan pelajar menyedari proses pemikiran mereka dan seterusnya mebina kemahiran memantau dan mengawal operasi kognitif mereka sendiri. Diharapkan pelajar akan dapat merancang bagaimana menggunakan proses pemikiran mereka, memerhati dan meneliti implementasi rancangan mereka serta membuat pengubahsuaian yang perlu secara sedar. Akhir sekali pelajar juga mampu menilai secara kritikal keseluruhan proses dan hasil pembelajaran mereka. Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa strategi metakognisi dan amalan pemikiran kritikal berjalan seiring untuk memperbaiki proses dan hasil pembelajaran pelajar dan boleh digunakan untuk memupuk amalan pemikiran kritikal pelajar.


RUJUKAN
Ennis,R. 1985. Goals for a Critical Thinking, Reasoning, Curriculum. Illinois Critical thinking Project. University of Illinois, Champion,IL.
Paul,R. 1995. Critical Thinking: How to prepare students for a rapidly changing world. Santa Rosa, CA: The Foundation for Critical Thinking
Paul,R. & Elder,L. 2006, The nature and functions of Critical & Creative Thinking. Santa Rosa, CA: The Foundation for Critical Thinking
Paris, S. G., & Winograd, P. 1990. Promoting metacognition and motivation of exceptional children. Remedial and Special Education, 11(6), 7-15.
Walter, T.L, Knudsvig,G.M & Smith,D, E.P. 2003. Critical Thinking: Building the Basics. Edisi ke-2. Australia: Tomson-Wadsworth.


SAEMAH RAHMAN
SITI FATIMAH MOHD YASSIN
Fakulti Pendidikan, UKM

Pemilihan Tajuk

Tajuk yang menjadi pilihan saya untuk Tesis ini adalah Ibadah Haji. Pemilihan tajuk ini saya lakukan adalah berdasarkan pengalaman saya semasa berpraktikum. Semasa Paraktikum yang lalu, saya diarahkan untuk mengajar Tingkatan 4 yang mana tajuk Haji ini adalah merupakan salah satu tajuk yang terdapat dalam silibus Tingkatan 4. Semasa membuat persiapan untuk mengajar tajuk haji ini dalam praktikum yang lalu, saya telah pun mencari beberapa laman web yang berkaitan dengan haji ini sebagai persediaan untuk menjalankan P&P. Daripada pengalaman itulah saya dapati banyak laman web yang berkaitan dengan Haji, namun kebanyakannya laman-laman web ini masih lagi tidak lengkap dan menyeluruh. Disebabkan itulah saya merasakan tajuk Haji ini adalah amat sesuai untuk dijadikan tajuk Tesis saya supaya saya dapat menyediakan satu blog yang baik dan berkualiti serta dapat dijadikan rujukan oleh mereka-mereka yang ingin mengetahui secara terperinci tentang Ibadah Haji. Insyaallah.

Tugasan Awal

Tugasan pertama yang diberikan kepada kami ialah membuat refleksi tentang penggunaan ICT dalam P&P. Saya amat bertuah kerana sepanjang berpraktikum selama 8 minggu di SM Teknik Sepang, saya diberi kebebasan sepenuhnya untuk menggunakan makmal komputer sekolah. Boleh dikatakan 90% P&P yang saya jalankan, menggunakan makmal komputer dan segala kemudahan yang disediakan di situ. Daripada pengalaman itu saya dapat melihat kelebihan dan kelemahan penggunaan ICT dalam P&P. Tugasan mengenai refleksi p&p menggunaan ICT ini saya telah uploadkan ke dalam file saya dalam Group Ilmiah 2008.

Muqaddimah

Assalamualaikum wbt. Pertama sekali saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan izinnya maka terbinalah blog ini. Tidak lupa saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua penyelia tesis saya iaitu Dr Hajjah Siti Fatimah Mohd Yassin serta Dr Saemah Abd Rahman kerana menerima saya dalam kumpulan Ilmiah 2008 ini.

Semasa mula-mula diajak oleh rakan untuk menyertai kumpulan ini saya merasa tidak yakin kerana memikirkan pengetahuan saya dalam ICT agak kurang, apatah lagi membuat blog yang sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk membuatnya dan tidak pernah pun meng'explore'nya. Namun dengan galakan dan tunjuk ajar dari rakan-rakan dan semangat ingin mencuba, maka terhasillah beberapa blog yang saya binanya sendiri dengan bantuan rakan-rakan. Walaupun blog-blog yang saya bina ini agak 'sempoi', insyaallah dari hari ke hari saya akan cuba untuk memurnikankan lagi blog-blog ini.